Khamis, 28 Januari 2010

Asal-usul Orang Talantang

Bila terkenang kembali zaman kanak-kanak saya di kampung kelahiran saya yang diberi nama Kampung Talantang, sebuah kampung yang terletak di utara Sabah dalam Daerah Tandek.
Saya tergerak untuk menulis di ruangan ini supaya suku kaum Talantang tidak akan pupus begitu sahaja tanpa diketahui asal-usulnya atau dari mana datangnya.

Sebenarnya saya sendiri masih tertanya-tanya dari mana datangnya orang-orang Talantang yang ada di Daerah Tandek ini?. Saya pernah ajukan pertanyaan ini dengan datuk dan nenek saya suatu ketika dahulu dan jawapan mereka ialah orang-orang Talantang yang bermastautin di Daerah Tandek adalah datang dari Ulu Sugud Malinsau di Daerah Ranau.

Menurut kedua datuk dan nenek saya, cuma sebilangan kecil sahaja orang Talantang yang berhijrah ke Daerah Tandek dari Ulu Sugud Malinsau, dan penghijraan tersebut berlaku berabad-abad tahun yang lalu sebelum penjajahan Pihak British bermula di Sabah.

Pada tahun 1992 dan 1993 saya berkesempatan melanjutkan pelajaran di SMK Mat Salleh Ranau. Daerah yang diceritakan oleh datuk dan nenek saya sebagi asal-usul suku kaum Talantang. Secara kebetulan, satu hari saya terdengar beberapa orang yang sedang berbicara sesama sendiri dalam bahasa dan loghat Talantang di pekan Ranau, namun pada masa itu saya tidak ada keberanian untuk bertegur sapa dengan mereka. Saya sempat berfikir mungkin betul apa yang datuk dan nenek saya ceritakan mengenai asal-usul suku kaum Talantang.

Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah kalau benar wujudnya suku kaum Talantang ini yang majoritinya di Ulu Sugud Malinsau, saya harap ada usaha dari pihak yang berkenaan terutamanya Kerajaan untuk mewujudkan program khusus untuk suku kaum Talantang di Sabah supaya mendapat pengiktrafan yang sepatutnya dan seterusnya dapat mengumpulkan kembali semua orang yang berketurunan Talantang.

Seperti yang saya katakan di awal-awal tulisan ini bahawa semua ini saya cuma ketahui menerusi cerita nenek dan datuk saya, dan saya sendiri belum pernah ke Ulu Sugud Malinsau dan masih berharap supaya dapat berkenalan dengan saudara sekaum disana suatau hari nanti.

Saya risau kalau-kalau bahasa dan loghat Talantang akan hilang ditelan zaman sebab suku kaum Talantang asli yang ada di Daerah Tandek sudah semakin pupus aklibat perkahwinan campur dengan suku lain. Orang yang masih manggunakan bahasa dan loghat Talantang juga semakin berkurangan. Oleh itu adalah wajar sekiranya ada program khusus diadakan untuk tujuan perkumpulan atau pititimungan dalam bahasa dusun Talantang, supaya suku kaum Talantang dapat dipelihara dari segi warisan seni kebudayaan dan keturunan.

Saya juga merayu jika ada saudara atau saudari suku kaum Talantang yang dari Ulu Sugud Malinsau yang secara kebetualan atau sengaja membaca tulisan dalam ruangan ini, supaya sama-sama berfikir dan berusaha untuk mencari asal-usul, sejarah dan menulis dalam ruangan komen disini demi kesinambungan keturunan suku kaum Talantang.

Akhir sekali saya memohan maaf sekiranya ada fakta yang saya tulis dalam ruangan ini yang tidak tepat dan diharap agar orang-orang dari keturunan suku kaum Talantang di mana sahaja dapat sama-sama membetulkan atau menambah fakta dalam ruangan ini.

Semoga melalui ruanagan ini merupakan titik kepada permulaan kepada kesatuan suku kaum Talantang seluruh Sabah.