Isnin, 19 April 2010

HIDUP...pilihan anda

Susunan: Aban

Aku memanggil langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu pada hari ini: kepadamu ku perhadapkan kehidupan dan kematian, berkat dan kutuk. Pilihlah kehidupan, supaya engkau hidup, baik engkau maupun keturunanmu,

Ulangan 30: 19

Artikel in adalah garapan semula dari blog peribadi saya sendiri. Saya berusaha untuk meluaskan lagi ilmu pengetahuan yang Tuhan berikan ini untuk di kongsi bersama-sama dengan sesiapa sahaja termasuk rakan TalantangUnited..

Ramai manusia yang berusaha mencari kesenangan hidup dengan pelbagai cara untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia ini. Antara mereka, ada yang menggunakan cara baik dan ada juga yang menggunakan cara yang tidak baik. Cara mudah untuk mencari kesenangan hidup adalah dengan bekerja keras dengan membanting tulang sekerat yang ada. Tetapi dalam Ulangan 30:19 menyatakan bahawa kehidupan yang kita pilih adalah penentu kepada keadaan keluarga kita. Nabi Musa dalam saat kesukaran membawa umat Israel melepaskan diri dari tentera Mesir menyatakan hal ini kepada umat Israel saat mereka bersungut-sungut akan keadaan hidup mereka. Allah Bapa sendiri berbicara kepada Nabi Musa saat hidup umat Israel bergantung kepada allah yang mereka sembah. Jika mereka memilih allah bagi Mesir, maka hidup mereka terpisah dari Allah Bapa. Tetapi jika mereka menyembah Allah Bapa bagi Israel, hidup mereka akan sentiasa terjaga. Saat ini, Allah Bapa yang kita miliki adalah allah yang di sembah oleh orang Israel dan hidup kita sentiasa terjaga seperti dalam Yakobus 1:12 Berbahagialah orang yang bertahan dalam pencobaan, sebab apabila ia sudah tahan uji, ia akan menerima mahkota kehidupan yang dijanjikan Allah kepada barangsiapa yang mengasihi Dia.

Kerana itu, keputusan perlu di ambil tanpa perlu dengan sengaja meletakkan tarikh atau tempoh tertentu untuk melaksanakan pilihan anda. Tidak perlu difikirkan bagaimana corak kehidupan yang perlu anda inginkan ketika susah atau ketika senang. Pilihlah kehidupan yang berkenaan di mata Allah Bapa saat ini juga. Pilihlah kehidupan anda hari ini agar anda dan keluarga anda dapat menerima janji yang Tuhan berikan dalam Yakobus 1:12 ini. Memang sukar menjalani hidup yang serba kekurangan dalam dunia ketika ini, dengan perubahan ekonomi yang tidak menentu, harga barang-barang turun naik, pengurangan pekerja, kekurangan peluang pekerjaan dan gangguan bencana alam. Tetapi juga tidak sukar untuk meletakkan harapan kita kepada Allah Bapa. Selama kita ada di dunia yang diciptakan oleh Allah Bapa, selama itu juga kita hidup dalam kekuasaan-Nya. Selama Allah Bapa menjadi raja, menjadi majikan dan menjadi Tuhan dalam hidup kita, kita tetap berbahagia. Hidup memang memerlukan wang tetapi jangan sampai jadikan wang sebagai allah kita. Jawatan tinggi mampu menjamin ekonomi kita tetapi jangan sampai pekerjaan itu menjadi lebih utama dari kehidupan Kristian kita. Dalam segala kesukaran, biarlah kita menghidupkan Kristian itu dalam diri kita.

Setiap jalan kehidupan yang kita pilih akan memberikan impak yeng tersendiri dalam kehidupan kita. Contohnya, jika kita memilih hidup berteraskan penipuan, maka kita akan binasa akibat menipu. Tetapi jika kita memilih jalan hidup berpaksikan Tuhan Yesus dalam segala hal, maka kita akan di jaga oleh Tuhan Yesus walau di sudut apa sekalipun. Saat susah, saat sukar, menghadapi masalah rumahtangga, masalah percintaan, pekerjaan atau persahabatan. Tidak ada satu perkara pun yang tidak dapat dilakukan oleh Allah Bapa. Yesus Kristus Anak Tunggal sahaja sanggup diberikan untuk kita, apa lagi dalam menempuhi hidup duniawi kita. Dia sudah membuktikan dengan menyerahkan Yesus Kristus Anak Tunggal mati di atas kayu salib bagi menghapuskan dosa kita. Sedangkan penyekasaan berat ini dapat di tanggung oleh Dia, kesesakan hidup yang kita alami pasti kini dapat di pulihkan oleh Dia, Tuhan Yesus Kristus. Jangan lepaskan diri kita dari kasih Tuhan Yesus kerana Dia sanggup menjaga kita dalam segala keadaan.

Salam rindu dari Aban Gaban.

Jadilah GARAM dan TERANG dunia.

Tuhan Yesus memberkati..

Jumaat, 19 Mac 2010

Bahasa Menunjuk kan Bangsa

Apa Khabar semua warga TU. Doa dan harapan saya agar semuanya berada dalam keadaan yang baik, secara jasmani, ekonomi dan yang lebih penting rohani.
Hari ini saya ada banyak masa terluang kerana cuti hujung minggu di sini (Abu Dhabi).

Dalam tulisan saya kali ini saya sengaja memilih tajuk Bahasa Menunjuk kan Bangsa. Idea ini tercetus selepas saya berkesempatan berbual dengan kawan-kawan sekampung pagi ini. Saya sangat gembira kerana dalam zaman globalisasi ini, masih ada anak-anak muda khususnya dari Talantang yang fasih berbahasa Talantang, bukan sahaja bercakap tapi juga dalam penulisan.
Sepanjang perbualan saya dengan bebarapa kawan sekampung dalam FB kami menggunakan bahasa asli Talantang dan ini yang membuat saya sangat bergairah berbual dengan mereka. Walaupun boleh dikatakan bahawa bahasa kita suku Talantang hampir pupus namun saya melihat masih ada harapan untuk pulih sekiranya kita semua sehati dan sepakat untuk melakukan sesuatu kearah menyelamatkan bahasa Talantang dari pupus ditelan zaman.

Kita tidak perlu bersusah-payah untuk memikirkan aktiviti atau program yang besar untuk melakukan perkara ini. Apa yang saya cadangkan ialah tidak kira dimana kita berada, apabila kita berkomunikasi diantara sesama kita dari suku Talantang, apa pun bentuk atau cara kita berkomunikasi baik dengan talifon, sms atau chatting mari kita gunakan bahasa kita supaya kita dapat dilatih dan seterusnya menjadikan ia budaya kehidupan kita.

Semoga dengan cara ini kita boleh mewariskan bahasa kita suku Talantang kepada anak-anak kita generasi yang akan datang. Jangan nanti anak-anak kita tidak tahu bahasa sendiri kerana kelalaian kita yang ada sekarang ini...

Semoga tulisan saya kali ini mampu mambakar semangat kita untuk menggunakan bahasa Talantang...

Hidup Talantang!!!

Ba kopituka koimbagu....

Ahad, 28 Februari 2010

ANAK TALANTANG MAMPU BERJAYA

Semakin lama saya berada di negeri orang,semakin banyak pengalaman dan ilmu yang saya perolehi.Bukan hanya ilmu akademik tetapi juga ilmu sosial masyarakat..dalam erti kata lain,bagaimana seharusnya sikap manusia itu dikatakan berbeza.Tiada seorang pun dalam dunia ini diciptakan oleh Tuhan dengan serupa.Seringkali kita dengar mengenai kembar tetapi kembar pun tidak akan pernah sama.Persamaan itu ada tetapi sama tidak mungkin.

Ramai anak-anak jati Talantang sekarang ini melanjutkan pelajaran dan mengambil kursus yang pelbagai. Jika sebelum ini sekitar tahun 70-an sehingga 90-an,orang kampung memandang sedikit serong anak-anak yang belajar di kolej swasta. Mereka hanya memandang tinggi anak-anak yang kerja kerajaan dan pastinya guru adalah pekerjaan yang paling di pandang tinggi pada ketika itu. Tetapi sekarang terlalu ramai anak-anak Talantang yang telah berjaya walaupun bukan sebagai guru atau kerja kerajaan. Sedikit sebanyak saya ingin kongsikan kejayaan beberapa anak Talantang yang perlu kita banggakan selepas ini.

Fred Surubi membesar merupakan anak muda yang sangat berjaya sehingga hari ini. Sekarang ini beliau menjadi Pengurus Projek untuk syarikat Tropical Gulf Contracting yang beroperasi di Abu Dhabi,Arab Saudi. Kisah kanak-kanak sehingga sekarang bukan sesuatu yang mudah dalam diri anak muda ini. Banyak perkara yang mampu meruntuhkan kehidupannya jika beliau tidak mampu bertahan kuat dalam setiap cabaran yang di hadapi. Saya sempat berbual dengan beliau dalam Facebook dan beliau mengatakan pernah menjadi kuli rendah di sebuah kilang di Pulau Pinang sebelum majikan memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi designer di syarikat tersebut. Bermula dari bawah sehingga sekarang ini berkhidmat untuk syarikat besar, pasti sesuatu yang perlu kita banggakan dalam diri anak muda berjiwa kental ini.

Bagaimana dengan anak-anak Muralang? Rohzan dan Redzuan merupakan insan yang sentiasa menjadi tunjang kepada ibu mereka. Ketika ini Redzuan menjadi Jurutera Mekanikal di sebuah syarikat pelatar minyak di Miri. Gaji tidak perlu disebutkan kerana memang sangat cukup makan. Beliau juga bermula dari bawah dan akhirnya menjadi jurutera untuk sebuah syarikat mega. Abang beliau juga pastinya seorang yang berjaya juga dalam kariernya. Walaupun saya belum sempat bertanya dan berhubung dengan kedua-dua tokoh muda ini tetapi saya sempat berkenalan dengan mereka semasa zaman kanak-kanak saya dulu. Saya mengenali sedikit Rohzan kerana beliau merupakan antara pemain badminton yang cukup pintar di Talantang. Beliau seorang yang kuat dan bersemangat dalam perlawanan badminton. Itu yang di panggil passion atau dalam erti mudah semangat yang membuak-buak dalam melakukan sesuatu.

Masih ramai lagi anak-anak muda Talantang yang telah berjaya membuktikan bahawa anak kampung mampu berjaya.Kalau mau seribu daya...tak mau seribu dalih. Pastinya itu antara panduan untuk mereka semua mencapai kejayaan. Kenapa anak-anak muda Talantang khususnya ketika ini lebih suka hidup ala kadar sahaja? Kenapa mereka lebih sukakan suasana kampung Talantang (yang memang aman damai) tetapi tidak berani berada di luar tempurung Talantang? Pasti ada yang memberi alasan bebanan keluarga atau tidak berpendidikan tinggi. Kalau itu alasannya,sepatutya itu juga alasan mereka untuk mencari jalan kejayaan.

Menjadi anak yang baik adalah dengan menjadi anak yang berguna kepada ibubapa, bangsa dan agama. Bukan hanya menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri. Bktikan bahawa anak-anak Talantang mampu mengubah kehidupan ibubapa dan bangsa kita. Fikir-fikirkan dan renung-renungkan...

Salam rindu dari Aban Gaban.