Zaman remaja saya bersama-sama dengan anak-anak muda yang lahir pada tahun sekitar 1984-1986. Zaman keremajaan kami bermula sekitar 1998 dengan gelaran sebagai team bola sepak Anak Marau-Arau FC. Antara pemain-pemain bola sepak yang berada dalam team tersebut adalah Gunsong, Jani, Modinol, Irin, Ikuk, Jubili, Rano, Beck dan saya sendiri la kan. Kami selalunya akan bermain bola sepak di padang SK Talantang yang sentiasa menjadi rumah kedua bagi remaja dan kanak-kanak masa tu. Bila datang musim Kaamatan macam ni, team kami sibuk sudah untuk ikut pertandingan bola sepak di Damai, Masolog, Morion atau mana-mana la di sekitar kawasan Tandek. Kadang-kadang menang juga tapi banyak masa kami kalah ni. Tapi masa tu memang tidak kisah sangat menang kalah sebab yang penting bagi kami adalah membina semangat berpasukan dan membentuk hubungan sebagai remaja hingusan Talantang.
Ramai daripada kami yang berjaya menyambung pelajaran sehingga ke sekolah menengah di SMK Tandek, SMK Kota Marudu dan SMK Bandau. Ada juga segelintir yang menyambung minta dalam teknik vokasional di SMT Kudat. Sepanjang bergelar pelajar sekolah menengah, memang team bola Marau-Arau FC dan Anak Marau-Arau FC menjadi popular di sekitar Tandek dan Kota Marudu. Selepas Jubili melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan dan kami yang lain di sekolah menengah, team bola semakin hilang di telan usia dan kesibukan belajar. Ramai yang bekerja selepas tingkatan lima, ramai juga yang menyambung pelajaran di kolej-kolej dan universiti tempatan.
Menjelang Kaamatan 2010 ini, ramai anak muda Talantang akan kembali ke kampung halaman masing-masing. Aktiviti keramaian seperti makan-makan, tunang, kahwin dan kesyukuran antara yang paling popular pada bulan ini. Pesta Kaamatan memang wajib bagi setiap kampung dan ada juga pesta peringkat Talantang dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi. Ramai di antara yang meraihkan semua aktiviti dan pesta ini adalah mereka yang dewasa seperti kami ketika ini. DI MANA MENGHILANGNYA ANAK-ANAK MUDA REMAJA TALANTANG??? Apa yang mereka lakukan ketika aktiviti-aktviti seperti ini berlangsung??? Mugkin ada yang tidak dapat mohon cuti dan bekerja sahaja. Mungkin juga ada juga yang memilih untuk meraihkan cuti bersama-sama orang asing di bandar yang lebih meriah???
Apa pun yang anda lakukan, janganlah sehingga menyusahkan diri dan menyusahkan orang lain terutama ibubapa anda. Jangan terlibat dengan lumba haram, penagihan dadah atau kes yang mungkin lebih teruk. Jadilah seorang anak muda yang menjadi kebanggaan ibubapa, menjadi teladan bagi anak-anak muda yang lain. Walaupun saya bekerja di Yayasan Sabah ketika ini secara kontrak, tetapi ini tetap menjadi satu batu loncatan untuk saya menjadi teladan kepada anak-anak muda yang lain. Bekerja untuk anak-anak muda yang belajar di sekolah-sekolah menengah di seluruh Sabah dan Sarawak menjadi titik permulaan untuk saya mencurahkan ilmu kepada anak-anak muda di seluruh Malaysia.
Wahai anak-anak muda remaja Talantang, ingatlah bahawa pendidikan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan bangsa yang berjaya. Sahsiah diri dan disiplin diri menjadi tunggak kepada perkembangan hidup bahagia dan harta menjamin kelangsungan hidup di muka bumi ini. Selarikan diri kita dengan semua aspek ini dan kita akan menjadi anak muda remaja yang berjaya.
HIDUP MENURUT KEHENDAK BAPA SURGAWI ADALAH SATU-SATUNYA JALAN DALAM MENCAPAI SEMUA KEJAYAAN HIDUP.JANGAN PERNAH MENINGGALKAN IMAN KITA HANYA UNTUK MENGEJAR DUNIA.
Salam rindu dari Gaban Aban.
1 ulasan:
Hari ini walau pun saya penat kerana terlalu sibuk dengan kerja, saya rasa sangat lega dan seakan mendapat semangat yang baru setelah membaca tulisan adik Aban dalam blog TU ini.
Oleh itu saya mengambil kesempatan dalam masa rehat makan ini untuk menulis dan merakamkan banyak-banyak terima kasih kepada adik Aban dan tahniah kerana mendapat peluang untuk bekerja dengan Yayasan Sabah.
Saya sangat bersetuju dengan saranan adik Aban supaya kita menggunakan masa perayaan ini untuk bersuka-ria namun dengan jalan yang betul...
Khususnya anak-anak remaja Talantang.. Jadi lah kebangaan ibu-bapa dan contoh bagi anak-anak muda yang lain dalam kelakuan dan keadaban kita...Mungkin tidak semua mampu untuk menjadi contoh dalam akademik atau pun kerja..tetapi sekurang-kurangnya dari segi tingkah-laku kita semua mampu.. tidak ada alasan....
Harapan saya, dalam meraihkan pesta kamataan khususnya pada bulan ini atau apa-apa perayaan pun, kita semua mampu menjadi tauladan yang baik. Jauh kan diri dari perbuatan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Seperti lumba haram, minum minuman keras sampai tidak sedar diri, dadah dan gejala sosial yang lain.
Tahniah sekali lagi Aban, tidak keterlaluan kalau saya mengatakan bahawa kau adalah salah satu permata dari Kg. Talantang.
Salam Kaamatan untuk semua...
Semoga tahun depan kita semua dapat meraihkan-nya bersama di Kg. Talantang.
Catat Ulasan